Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG individu ditangkap polis selepas dia menyamar sebagai Raja Muda Perak ketika berurusan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar di sini pada hujung Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditangkap semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 5.30 petang.

Katanya, kejadian terbabit berlaku pada pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu, semasa suspek hadir dengan dua lagi wanita sambil memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad berwarna kuning.

“Pengadu telah ambil kad tersebut untuk membuat pemeriksaan dan mendapati butiran yang tertera adalah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

“Pengadu telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak dan telah disahkan bahawa tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan termasuk mengetahui motif kejadian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *