Mangsa ribut tinggal sehelai sepinggang selepas rumah roboh dihempap pokok

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, Jumaat lalu, tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya roboh dihempap pokok tumbang.

Helda Mohd. Salleh, 49, berkata, tiada apa yang sempat dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku terlalu pantas pada kira-kira pukul 1.30 petang dalam keadaan hujan gerimis.

“Semasa kejadian saya, suami, dua anak dan seorang cucu lelaki berada di rumah, tiba-tiba pokok tumbang hempap tengah rumah. Kebetulan cucu berusia tiga bulan ada di ruang depan dekat dengan pintu, selepas itu kami semua lari keluar rumah dan tumpang rumah jiran.

“Selepas itu, penduduk kampung datang membantu memotong dahan yang jatuh atas bumbung. Semasa kerja-kerja memotong dahan itu, ada dahan jatuh dan menghempap rumah hingga mengakibatkan rumah kami roboh terus kerana struktur kayu asalnya sudah tidak kukuh lagi,” katanya.

Dia yang merupakan suri rumah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah di sini semalam yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Jafni Md. Shukor.

Jumaat lalu, kira-kira 50 kediaman di Rumah Pangsa Ros Merah dan beberapa rumah di Kampung Melayu Pandan dan dilanda ribut, 22 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya setelah kediaman mereka rosak dan musnah dinaiki air akibat hujan lebat.

Seramai 18 keluarga mangsa ribut di PPS berkenaan akan berpindah ke PPR tersebut bermula Rabu untuk tempoh tiga bulan sehingga rumah mereka siap dibaiki dengan kos lebih RM1 juta.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan Kassim, 28, yang tinggal di tingkat empat rumah pangsa tersebut bersyukur kerana semasa kejadian dia, isteri serta anaknya tiada di rumah dan kejadian tersebut dimaklumkan jirannya.

“Semasa ribut saya dalam perjalanan balik ke rumah dari Pasir Gudang sementara isteri sedang bekerja dan anak pula di rumah pengasuh. Kejadian itu menyebabkan perabot dan perkakas rumah semuanya musnah, kerugian dianggarkan RM10,000,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Shahrom Hassan, 57, yang juga tinggal di tingkat empat rumah pangsa berkenaan berkata, semasa kejadian seakan berlaku gempa bumi dengan bunyi bising yang sangat kuat.

“Saya bersama cucu lelaki berusia 15 tahun terus menyelamatkan diri ke tangga di bahagian bawah rumah pangsa ini. Perabot dan barangan elektrik semuanya musnah. Rumah saya adalah yang paling teruk dipukul ribut, kerugian dianggarkan RM15,000.

“Saya bersyukur kerana dapat berteduh di PPS tersebut dan sekarang di PPR ini, harap proses baik pulih rumah kami dapat dilakukan segera, terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama kerajaan negeri,” katanya.

Nizam Mastam, 45, tinggal di tingkat yang sama berkata, bukan sahaja barang-barang dalam rumah rosak tetapi juga najis burung banyak yang terkumpul di bahagian atas bumbung masuk ke dalam rumahnya.

“Keadaan dalam rumah amat menyedihkan, bekalan elektrik sudah terputus dan paip juga sudah pecah,” ujarnya yang bekerja sebagai pembantu stor dan tinggal bersama ibu dan bapanya di rumah itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *