LCS: Ahmad Zahid tukar reka bentuk pilihan TLDM

BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menukar reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011, bertentangan dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Laporan Berita Harian menyatakan, perkara itu didedahkan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini.

Menurut laporan itu, Ahmad Zahid pada mulanya bersetuju dengan pendirian TLDM untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011.

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengubah keputusan itu kurang dua bulan kemudian dan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis pada 11 Julai 2011, selepas disyorkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilian reka bentuk.

“Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

“Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011,” jelas laporan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *