Van sekolah bawa 16 murid terbabas ke parit

Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 16 pelajar berdepan pengalaman menakutkan apabila van sekolah dinaiki mereka terbabas dan termasuk ke dalam sebuah parit di jalan berdekatan Taman Rhu, Tikam Batu dekat Sungai Petani di Kedah, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.

Setibanya di lokasi katanya, didapati terdapat 17 individu terdiri daripada seorang pemandu van dan 16 pelajar terlibat dalam kemalangan itu.

“Pemandu van tersebut yang berusia kira-kira 50-an cedera ringan di kepala manakala 15 pelajar lain turut mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan.

Van tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan

“Namun terdapat seorang pelajar perempuan dianggarkan berusia antara 8 hingga 10 tahun patah tangan kanan. Pemeriksaan dijalankan mendapati tiada mangsa yang tersepit,” katanya.

Tambahnya, van tersebut dikatakan terbabas sendiri ke bahu jalan.

“Pihak kami kemudiannya menghantar tiga mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Selebihnya, mereka dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *