Toreh muka rakan disebabkan enggan bayar ganti rugi

SEORANG lelaki tergamak memukul dan menoreh muka rakan lelakinya di padang bola jaring, di Ampang Jaya, baru-baru ini, hanya kerana enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta milik mangsa.

Suspek yang berusia 24 tahun itu berjaya ditahan polis di Semenyih, Kajang, pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada 6 petang 10 Ogos lalu apabila mangsa berusia 24 tahun dihubungi teman wanita suspek memberitahu suspek mahu bertemu di padang bola jaring itu.

“Pertemuan tersebut untuk berbincang mengenai masalah kereta mangsa mengalami kemalangan.

“Apabila tiba di sana mangsa dan suspek berbincang namun suspek mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi itu dan mengajak bergaduh.

“Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian awal saringan air kencing mandapati suspek disyaki positif dadah jenis THC,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham dan meninggi suara antara mangsa dan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *