POLIs menahan pengasuh berumur 40 tahun ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan yang berumur 3 tahun di Mutiara Magna, Kepong semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 berhubung kematian kanak-kanak lelaki tersebut kira-kira pukul 12.01 tengah hari.
Kematian kanak-kanak itu,kata beliau disahkan oleh pegawai paramedik Hospital Kuala Lumpur yang berada di tempat kejadian.
“Kanak-kanak itu terbaring di dalam katil kanak-kanak lengkap berpakaian. Pemeriksaan lanjut ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan luka di dahi, mulut dan hidung, kesan merah di bawah mata kiri, calar dan lebam pada bahagian belakang badan dan siku tangan kanan.
“Polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang suspek berumur 40 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa semenjak mangsa dilahirkan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beh berkata, suspek kini direman selama 5 hari sehingga 20 Ogos untuk siasatan lanjut dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh tampil menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul.
Leave a Reply