Lebih 70 rumah dipukul ribut di Dungun, Kemaman

LEBIH 70 buah rumah di daerah Dungun dan Kemaman rosak dipukul ribut dalam kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.

Kejadian berlaku di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di Dungun manakala di Kemaman pula melibatkan Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram.

Insiden itu berlaku selama kira-kira setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut dan rosak dipukul ribut.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebanyak 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS yang dikenal pasti terlibat setakat ini.

“Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah ke lokasi untuk melihat kerosakan dan bantuan atap telah dihantar ke rumah penduduk terlibat.

“Ttiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ekoran kejadian itu. Angin kuat dan hujan lebat menyebabkan banyak pokok tumbang namun tiada rumah penduduk yang dihempap pokok dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, sebanyak 27 buah rumah dihuni oleh 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut tersebut.

Menurutnya, jumlah sebenar rumah dan penduduk yang terlibat sedang dikemas kini.

“Kita akan gunakan peruntukan Tabung Darul Iman untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *