KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menahan seorang lelaki ditahan bersama lori muatan tiga tan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah, Kuantan semalam.
Menerusi serbuan KPDNHEP pada pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berumur 48 tahun ditahan ketika mengisi diesel di stesen terbabit.
Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, penahanan dilakukan selepas lori terbabit didapati mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan satu tangki keluli tambahan yang diubah suai di dalam bahagian kabin belakang kenderaan itu.
“Turut ditemukan sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk menyedut diesel yang dibeli di stesen minyak ke dalam tangki keluli yang telah diubah suai itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Katanya, KPDNHEP Pahang bertindak menyita lori itu bersama diesel yang dianggarkan 900 liter dan menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori untuk tujuan siasatan lanjut.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kes penyelewengan diesel itu adalah kes kedua bulan ini selepas dikesan di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota, di Kuantan pada 2 Ogos lalu.
Kes itu membabitkan dua lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tujuh tan membabitkan 1,000 liter sudah diisi ke dalam tangki.
Mark berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang sentiasa menjalankan pemantauan di stesen minyak di negeri ini, termasuk sekitar Kuantan.
Katanya, langkah itu dalam usaha mencegah aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel sekali gus mencegah ketirisan subsidi kerajaan.
“Oleh itu, KPDNHEP meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melaporkan kepada kementerian,” katanya.
Leave a Reply