Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam milik orang Melayu mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam seperti yang tular di dalam media sosial.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jabatan itu sudah diarahkan menjalankan siasatan rapi dan terperinci berhubung dakwaan tersebut kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam.
Ujar beliau, JHEAINPP dan beberapa agensi berkaitan sudah melakukan siasatan awal namun hanya berdasarkan kepada dakwaan seperti yang tular di dalam media sosial.
“Saya difahamkan setakat ini tiada aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak. Maka, tiada individu termasuk pemilik kedai dipanggil untuk siasatan lanjut.
“Namun, pemilik dan pekerja kedai serta beberapa individu yang didakwa terlibat sudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sejak semalam, satu video berdurasi 2 minit 38 saat yang memaparkan dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara tular di dalam media sosial.
Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Muslim terutama pelanggan kedai terbabit yang menggesa pemilik restoran tampil menjelaskan situasi sebenar dan mendesak pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.
Leave a Reply