Saman hospital, doktor atas kematian ibu diserang sakit jantung

ANAK lelaki kepada seorang wanita berusia 74 tahun yang meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) di Singapura memfailkan tuntutan sebanyak S$800,000 dolar Singapura (RM2.59 juta) terhadap hospital itu dan tiga doktornya.

Beritamediacorp melaporkan, perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula hari ini akan meneliti sama ada kecuaian dari segi perubatan menjadi punca kematian Tan Yaw Lan.

Plaintif Chia Soo Kiang, 47 tahun, diwakili Clarence Lun dan Cheston Ow dari syarikat guaman Fervent Chambers.

Menurut kes beliau, kecuaian pihak defendan semasa membuat diagnosis dan memberikan rawatan perubatan menyebabkan Cik Tan mengalami serangan jantung pada 23 April 2018.

Tan rebah selepas dimandikan oleh seorang jururawat latihan amali pada hari itu. Mendiang kemudian koma.

Keadaannya bertambah buruk dan mendiang meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemik dan radang paru-paru pada 13 Mei 2018.

Selain TTSH, tuntutan juga dibuat terhadap Dr Dorai Raj D Appadorai iaitu doktor tunggu sedia ketika Tan dimasukkan ke wad dan juga Dr Lee Wei Sheng serta Dr Ranjana Acharya yang memberikan maklum balas tentang keadaan Tan pada pagi selepas mendiang dimasukkan ke wad.

Hospital dan para doktor tersebut diwakili oleh sepasukan peguam dari Dentons Rodyk & Davidson yang diketuai oleh Mar Seow Hwei.

Seorang pegawai perkhidmatan awam, Chia adalah orang pertama memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Menurut laporan sejarah perubatan yang diperolehi daripada April 2018, Tan mengalami masalah kesihatan termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan jantung, penyakit jantung iskemik, sakit buah pinggang kronik dan anemia.

Perbicaraan itu diteruskan di hadapan Hakim Choo Han Teck esok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *