Lelaki naik ‘gila’ musnahkan papan tanda jalan, mesin air

TULAR video seorang lelaki dipercayai mabuk bertindak memusnahkan harta benda awam mengundang kebimbangan orang awam.

Dalam video berdurasi satu minit 21 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan yang memakai kemeja putih bertindak mematahkan papan tanda jalan raya, sebelum memecahkan mesin air di kedai runcit berdekatan.

Dalam kejadian di Taman Intan, Kluang, lelaki tersebut menjerit dalam bahasa yang sukar difahami serta menendang tayar kereta orang awam.

Namun, dia kemudiannya ditenangkan di kaki lima oleh orang ramai yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki itu, selain simpati dengan harta benda awam yang menjadi mangsa vandalisme tersebut.

Seorang pengguna, Azlan Budi berkata tingkah laku lelaki itu memecahkan harta benda awam satu tindakan tidak berguna kerana hanya menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

“Tak semena-mena barang orang lain jadi mangsa, kalau dia tak mampu bayar macam mana mangsa nak tuntut ganti rugi?”

Shukor Adnan berkata, lelaki itu tidak sepatutnya minum minuman keras sehingga menyusahkan orang lain.

“Inilah bahayanya arak. Sebelum ni ada kes mabuk langgar lari macam tu sahaja. Sekarang mabuk harta benda orang pula nak dirosakkan,” katanya dalam nada kesal.

Selain itu, Shahrul Nizam berkata, meskipun marah dengan perbuatan itu, namun dia juga memahami lelaki tersebut dalam keadaan kurang waras ketika mabuk.

“Betul salah apa yang dia buat, tetapi mungkin dia ada masalah lain sehingga mabuk, tiada siapa sedia mendengar dan selesaikan masalah dia,” ujarnya.

Dalam komen lain, Mohammad Syafiq berkata, orang awam sepatutnya memanggil polis untuk menghentikan perbuatan lelaki itu.

“Jangan ambil risiko sekiranya berjumpa dengan orang macam ini, kena tunggu polis biar dia ‘bergusti’ dengan barang tersebut sehingga pihak berkuasa sampai,” katanya


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *