Selangor cadang larangan guna beg plastik pada hujung minggu

KERAJAAN negeri Selangor bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik di semua premis perniagaan berdaftar di negeri tersebut pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian berkata, cadangan itu susulan tahap penggunaan beg plastik masih tinggi walaupun caj 20 sen dikenakan terhadap pengguna.

Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dan kajian menyeluruh mengenai penguatkuasaan baharu itu.

“Statistik menunjukkan jumlah kutipan caj pada 2020 sebanyak RM5.8 juta dan ia semakin meningkat sehingga RM6.8 juta tahun lalu.

“Oleh itu, kita bercadang mahu melarang sepenuhnya penggunaan beg plastik di semua premis berdaftar pada Sabtu dan Ahad nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Pengumpulan E-Waste Taman Alam Perdana, Puncak Alam, Selangor, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, larangan terbabit bagaimanapun tidak tertakluk kepada peniaga kecil terutama yang menjaja di tepi jalan.

“Kita belum bercadang untuk menaikkan caj beg plastik sedia ada sehingga 2025. Untuk itu, pelbagai kempen kesedaran giat dijalankan di semua peringkat termasuk sekolah.

“Namun, kita mungkin akan mengkaji untuk menaikkan caj itu sekiranya statistik kutipan mencatatkan peningkatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *