Risiko tanah runtuh susulan di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley

JALAN Simpang Pulai-Blue Valley di Kinta, Perak menuju ke Cameron Highlands di Pahang berdepan risiko kejadian tanah runtuh susulan aspek pergerakan tanah yang masih aktif di kawasan berkenaan.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof,
kemungkinan itu didorong faktor perubahan cuaca ekstrem yang menyebabkan jumlah hujan tinggi dan kerap serta angin kuat.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini mengenal pasti tiga lokasi runtuhan tanah berskala besar di kawasan berkenaan, membabitkan dua kejadian yang berlaku baru-baru ini.

“Kita nampak ada lagi kemungkinan pergerakan tanah yang mendedahkan bahaya kepada jalan berkenaan. Justeru, kita sedang laksanakan kerja baik pulih membabitkan kos bernilai RM112 juta untuk penyenggaraan cerun.

“Ini kerana musuh utama bagi infrastruktur kita ialah air. Ia akan menyebabkan kedudukan tanah lemah sehingga boleh mengakibatkan runtuhan, jika tidak diuruskan dengan baik,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

Kejadian runtuhan cerun berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, FT185 Seksyen 44.1 Kinta, Perak, membabitkan anggaran runtuhan seluas 67,500 meter persegi dengan ketinggian 250 meter.

Runtuhan cerun di laluan yang menghubungkan timur Semenanjung ke Cameron Highlands itu berpunca akibat hakisan air hujan dan keadaan muka bumi, selain pemerhatian mendapati kejadian itu membabitkan cerun tambakan iaitu cerun tanah.

Sementara itu, Fadillah bercadang menjemput pakar tempatan dan antarabangsa, terutama dari Jepun, bagi membincangkan penyelesaian terbaik mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh serta pengurusan tanah tinggi.

Beliau berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan bagi membolehkan pihaknya mencari penyelesaian untuk meminimumkan risiko dan mengurus tanah tinggi, terutama bagi aspek penjagaan infrastruktur yang menjadi cabaran utama di kawasan sedemikian.

“Kerja penyelenggaraan memang sentiasa dibuat tetapi jika berlaku runtuhan, peruntukan besar diperlukan untuk kerja baik pulih. Bayangkan kesan akan menimpa semua pihak, jika berlaku runtuhan di Jalan Simpang Pulai dan Jalan Lojing.

“Pembaikan cerun di situ dijangka siap November ini, dengan status kemajuan terkini adalah 41 peratus, membabitkan kos bernilai RM8.65 juta. Kaedahnya membabitkan kerja tanah, tanaman rumput dan beberapa tindakan lain.

“Di sinilah teknologi seperti pengesanan atau sensor akan digunakan bagi memantau pergerakan tanah, namun cabarannya ialah bagaimana kita ingin mengenal pasti aliran air bawah tanah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *