Percepat draf RUU Sumbangan Politik untuk dibentang Oktober

DRAF Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik perlu disediakan secepat mungkin supaya ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa membuat gesaan itu berkata, draf tersebut perlu dipercepatkan supaya sesi libat urus boleh diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa disediakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Beliau berkata, satu memorandum dijangka dikemukakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini.

“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Free Malaysia Today.

Wan Junaidi berkata, satu perbincangan sudah diadakan berkaitan RUU itu antara GIACC, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

Katanya, antara perkara dasar penting yang dibincangkan adalah penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.

Beliau turut mengarahkan GIACC memperhalusi perkara dasar itu, manakala BHEUU dan Jabatan Peguam Negara menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh diberikan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.

Selain itu, katanya, analisa perbandingan pemakaian undang-undang sama dari negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras, selain menyelaraskan RUU itu dengan undang-undang sedia ada di bawah JPPM dan SSM.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *