KETUA Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir Azhar Jumaat menegaskan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sedang dibina bukan halimun atau replika sebaliknya adalah kapal sebenar.
“Bukan kapal halimun (tetapi) kapal (dibina menggunakan) metal (logam) sebenar bukan daripada kayu. Ini bukan replika ini, ini kapal sebenar,” tegas beliau.
Azhar berkata, pihaknya tidak akan mengelirukan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus menyifatkan dakwaan yang dilontarkan berhubung pembinaan kapal itu tidak benar.
Menurutnya, setakatnya ini pihaknya sudah membina lima daripada enam kapal LCS yang dilakukan di Lumut Shipyard dalam pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di Lumut.
“Ramai buat dakwaan (kapal LCS adalah) halimun, kapal dibuat daripada kayu malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikelirukan. Semua dakwaan ini tidak benar.
“Buat apa kami nak mengelirukan sultan kami. Anda boleh lihat lima kapal LCS ini sedang dibangunkan dan ini adalah apa yang dilakukan dengan lebih RM6 bilion yang kami terima,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan lawatan media ke limbungan kapal Boustead Naval Shipyard di pangkalan TLDM, hari ini.
Pembinaan LCS disifatkan sebagai ‘halimun’ oleh netizen berhubung skandal perolehan kapal berkenaan.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, pembinaan lima kapal LCS berkenaan juga mencapai proses memberangsangkan.
Bagaimanapun katanya, untuk jangkaan masa semua kapal berkenaan dapat disiapkan beliau tidak dapat mengulas lanjut dan akan dimaklumkan oleh kerajaan.
“Setakat ini lima kapal LCS dalam pembinaan iaitu 60 peratus untuk kapal pertama diikuti 48 peratus (kapal kedua), 43 peratus (kapal ketiga), 36 peratus (kapal keempat) dan 22 peratus bagi kapal kelima,” katanya.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.
Sebelum ini juga, Harian Metro melaporkan, pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak kapal LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dilaporkan berkata, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM9 bilion dengan kemajuan pembinaan lima kapal ketika ini adalah 55 peratus.
Leave a Reply