Operasi cari mangsa bot karam dipertingkatkan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan berganding bahu bersama beberapa agensi yang lain bagi mencari dua lagi mangsa bot karam di perairan Pulau Redang sejak 8 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata ia susulan pencarian yang dilaksanakan sejak 9 Ogos lalu masih gagal menemui sebarang petunjuk bagi mengesan dua lagi mangsa.

Menurut laporan Astro Awani, hasil selaman yang dilakukan penyelam di kawasan rangka bot berkenaan juga tidak menghasilkan petunjuk positif.

Pihak Muhammad Suffi akan meneruskan pencarian bersama pihak polis, Jabatan Perikanan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan.

Beliau berkata menerusi operasi yang memasuki hari keempat bagi mengesan Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim diteruskan pada radius 37.80 batu nautika.

Jelasnya pencarian itu merangkumi dua sektor pencarian di laut dan udara melibatkan kekuatan 67 orang termasuk nelayan tempatan.

Sebelum ini, media melaporkan lima nelayan tempatan termasuk tekong dikhuatiri hilang manakala seorang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Redang kira-kira pukul 10 malam Isnin.

Susulan insiden itu tiga mangsa Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 47, ditemui terapung sekitar pukul 11 pagi hingga pukul 1.30 tengahari pada Rabu.

Ketiga-tiga mangsa ditemui terapung pada kedudukan 1.7 hingga 1.9 batu nautika Pulau Redang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *