LCS: Sistem pengurusan tempur dikhuatiri luput dalam 10 tahun

SISTEM pengurusan tempur kapal tempur pesisir (LCS) yang dalam pembinaan berisiko luput dalam tempoh sedekad susulan perubahan spesifikasinya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak menukar sistem Tacticos yang dipilih tentera laut kepada sistem Setis.

Menurutnya dalam satu kenyataan, sistem Setis yang dipilih itu bukan saja lebih mahal, malah ia belum dibangunkan sepenuhnya dan berisiko untuk luput dalam jangka pendek lima hingga 10 tahun.

“Paling tidak munasabah, sistem ini tidak mampu berintegrasi dengan kebanyakan peralatan pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya yang dipetik dari Free Malaysia Today.

Sim berkata, sistem asal yang dipilih TLDM ialah Tacticos yang sudah diguna pakai kapal TLDM, iaitu KD Kasturi dan KD Lekir.

“Pemindahan teknologi juga telah berlaku, di mana penyelenggaraan sistem ini dibuat sebuah syarikat teknologi tempatan. Kini semua ini telah dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan menukar reka bentuk kapal Sigma kepada Gowind oleh syarikat Perancis pada 2011 menyebabkan industri pembuatan kapal tempur Malaysia terkebelakang.

Katanya, Malaysia terlepas peluang untuk pemindahan teknologi kerana reka bentuk kapal Sigma yang direka syarikat Belanda, Damen Shipyard sepatutnya menjadikan Malaysia hab pembuatannya.

“Ini sudah tentu akan membolehkan pemindahan teknologi penting dalam industri pembuatan kapal tempur serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Minggu lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *