wang MBI Kedah SPRM bekas

Isu LCS: SPRM lengkapkan siasatan, saran pertuduhan beberapa individu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun melengkapkan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“SPRM turut menyarankan kepada AGC untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

“SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian AGC terhadap kertas siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Utusan TV.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu LCS yang hangat diperkatakan.

Perkara tersebut dibincang secara terperinci dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Sekiranya terdapat bukti kukuh, Perdana Menteri menegaskan Peguam Negara perlu membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Malah, Perdana Menteri memaklumkan telah memanggil Peguam negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras keputusan mesyuarat.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *