POLIS menahan seorang wanita warga emas tengah malam tadi kerana disyaki mendera anak angkatnya secara mengheret kanak-kanak itu dengan menarik rambutnya, di atas jalan berhadapan rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima laporan orang awam, di samping mengesan klip video berdurasi 33 saat melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian itu.
Beliau berkata video itu memaparkan suspek menarik rambut kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang memakai baju sekolah dengan tangan dan mengheretnya di atas jalan berhadapan rumahnya.
“Suspek merupakan warga tempatan dan kanak-kanak itu adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersamanya sejak kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya soal siasat mendapati kejadian berlaku kerana suspek dikatakan marah terhadap kanak-kanak itu kerana dipercayai beberapa kali telah mencuri wang suspek.
Ahmad Ridhwan berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.- BERNAMA
Leave a Reply