50 rumah dipukul ribut, mangsa dipindahkan ke PPS

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LEBIH 50 keluarga dikejutkan dengan kejadian bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Menurut mangsa, Rosliza Jaafar, 50, yang tinggal di Blok E berkata, semasa kejadian pada pukul 1.15 petang, dia dan suami sedang mengemas rumah sebelum tergamam melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin ribut.

“Tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediaman kami, sebelum bumbung rumah kami pula diterbangkan angin kencang dalam keadaan hujan lebat sebelum masuk dalam rumah.

“Hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak dan musnah akibat banjir. Masa itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya, terlalu takut,” katanya ketika ditemui.

Ribut yang melanda menerbangkan bumbung dan mengakibatkan air hujan masuk ke dalam bilik hingga bertakung dalam kejadian di Rumah Pangsa Ros Merah

Kejadian tersebut mengakibatkan keluarga 50 keluarga terjejas melibatkan enam daripada 10 blok iaitu blok C, D, E, F, G dan H.

Rata-rata mangsa adalah penduduk yang di tingkat empat blok terbabit dan terdapat mereka yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk.

Selain kawasan rumah pangsa tersebut, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang antaranya di Jalan Surau dan Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting.

Turut dilaporkan terdapat pokok tumbang adalah Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.

Rosliza berkata, kejadian tersebut disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 1999.

“Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat melanda dalam kira-kira 30 minit beserta angin dan ribut kencang.

“Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk ditingkat empat rumah boleh banjir dan basah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nizam Maskam, 45, berkata, dia hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur dalam rumah ketika kejadian ribut melanda.

Dia yang bekerja Kilang berkata, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.

“Hari ini Jumaat, jadi sebelum hendak keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat ini lain macam.

Mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk

“Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk,” katanya.

Menurutnya yang sudah menetap di situ lebih 20 tahun, tiada barang yang dapat diselamatkan kerana semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *