Penyelewengan diesel bersubsidi tumpas

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan melibatkan 17,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM36,550 di Kampung Sri Parit, Lukut, semalam.

Serbuan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan itu melibatkan penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 36 dan 53 tahun.

Ketua Pengawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, ketika serbuan pukul 7.55 malam itu, pasukan operasi mendapati terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki lain menggunakan hos penyambung di sebuah kawasan lot terpencil.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori tangki pertama mendapati terdapat kira-kira 9,000 liter cecair yang dipercayai adalah diesel dan lori tangki kedua mengandungi kira-kira 8,000 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Abd. Muis, hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit atau Permit Khas atau Surat Kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual.

“Turut disita dua lori tangki serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti hos. Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM116,550,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan iaitu apa-apa barang kawalan yang disimpan di mana-mana premis selain dari premis dilesenkan atau dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

Kejayaan kes itu katanya, adalah hasil perkongsian maklumat risikan yang telah dijalankan oleh pasukan polis IPK Negeri Sembilan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *