Kerja 45 jam seminggu mulai 1 September

PINDAAN kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberitahu Dewan Negara kelmarin bahawa pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pindaan itu juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

“Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Awang berkata demikian menjawab soalan Senator Nasir Hashim mengenai dasar kerajaan berhubung kerja empat hari seminggu terutama dalam sektor swasta.

Sementara itu, pada Jun lalu, BH melaporkan Awang sebagai berkata pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.

Pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

“Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari.

“Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Awang berkata, keputusan kerajaan dalam AKF itu bagaimanapun tidak ‘mengikat’ majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Sementara itu , beliau berkata, pihaknya bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

Katanya, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah.

“Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *