POLIS menahan seramai 25 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menyertai parti liar di sebuah rumah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong Pahang awal pagi tadi.
Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata, serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu hasil maklumat orang awam.
Katanya, dalam serbuan dan pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.
“Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 17 rakyat tempatan dan lapan warga asing berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas.
Tambahnya, beiau turut mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat kepada polis.
Leave a Reply