‘’Tohmahan Najib satu penipuan’’- Mat Sabu, Chin Tong

BEKAS Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong menafikan dakwaan Najib Razak bahawa Pakatan Harapan (PH) telah membekukan projek kapal tempur pesisir (LCS) ketika mereka berkuasa.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin PH itu menegaskan, projek bernilai RM9 bilion itu telah mengalami masalah kewangan sebelum PH mengambil alih kerajaan.

“Tohmahan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PH telah membeku projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan adalah satu penipuan,” kata kenyataan tersebut mereka.

Mereka juga menegaskan,  hakikatnya syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang diberikan projek itu telah berhutang dengan institusi kewangan sebanyak RM869 juta, sementara RM767 juta kepada pengilang peralatan asal (OEM) setakat Ogos 2019.

“Hutang-hutang lain adalah RM 102.2 juta. Jumlah hutang pada Ogos 2019 adalah sebanyak RM 1.738 billion. (Ia menyebabkan) Ramai sub-kontraktor dan OEM tidak lagi teruskan kerja kerana hutang. Kerajaan PH tidak ‘membeku’ projek LCS,” kata mereka.

Kenyataan itu bagi menjawab tohmahan Najib yang mengatakan  PH “tengok sahaja” dan “membisu” ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

Bekas Perdana Menter itu juga mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

Dalam kenyataan bersama tersebut, Mohamad dan Chin Tong juga  meminta Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan sama ada penggunaan dana LCS untuk membiayai hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) sebagai satu kesalahan jenayah.

“Kami terkejut dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa sebahagian daripada dana LCS digunakan untuk membiayai hutang lapuk BNS untuk projek lama, iaitu NGPV yang bermula pada 1998 dan berakhir pada 2010 dengan ‘rescue fund’ daripada kerajaan sebanyak RM1.4 bilion tanpa sebarang pertambahan peralatan mahupun ‘scope of work’.

“Hishamuddin mesti jawab adakah dia bersetuju dengan Ahmad Nazim bahawa dana LCS boleh digunapakai untuk membayar hutang NGPV,’’ tegas mereka.

Terdahulu, Nazim di Facebook berkata BNS terpaksa menggunakan sebahagian daripada dana perolehan LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Ini kerana BNS – yang pemegang saham terbesarnya adalah LTAT – terpaksa mengambil alih PSC Industries Bhd yang dibebani hutang, sebuah syarikat yang gagal menunaikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam kapal peronda luar pesisir (OPV).

“Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal tentera laut yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, BNS terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi,” kata Nazim.

Kontrak NGPV dikeluarkan pada 1998 dan BNS mengambil alih PSC pada 2005.

Justeru, Mohamad dan Chin Tong menggesa  Hishammuddin menjelaskan perkara berbangkit itu di Dewan Negara pada minggu depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *