Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Johor akan menubuhkan Pasukan Cantas Khas bagi menangani elemen gengsterism dan mencegah daripada berlaku kacau-bilau semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penubuhan tersebut bagi menentukan perjalanan semua kaedah PRU15 berjalan lancar mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Ini sepertimana penubuhan tim yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas untuk memastikan tiada gangguan semasa penamaan calon, berkempen dan juga semasa hari PRU, kita nak pastikan tiada gangguan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.
Pasukan tersebut katanya, akan ambil tugas risikan dan cari maklumat sekiranya terdapat rancangan untuk membuat kacau atau sebagainya.
“Pada PRN Johor lepas alhamdulillah tiada berlaku apa-apa perkara tidak sedemikian,” katanya lagi.
Kamarul Zaman memaklumkan tiada kawasan panas dikenal pasti di negeri ini pada PRU15 dan berharap semuanya akan berjalan lancar dan tenang sebagaimana PRN Johor yang berlangsung awal tahun ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 11,000 pegawai dan anggota PDRM Johor akan bertugas dalam PRU-15.
Pihaknya kini berada dalam siap sedia sekiranya PRU15 diadakan pada bila-bila masa.
“Kita memang sudah siap sedia sejak PRN Johor yang berlangsung pada Februari lalu. Tiada anggota tambahan memandangkan pilihan raya umum akan diadakan di seluruh negara.
“Anggota akan bergerak secara ‘mobilise’ dan kita yakin dengan kekuatan yang ada sekarang mampu hadapai PRU-15,” katanya.
Leave a Reply