Empat beradik antara 44 terkorban dalam serangan roket Israel di Gaza

SERANGAN peluru berpandu dan bedilan roket oleh tentera penjajah Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak awal Sabtu lalu setakat ini dilaporkan telah mengorbankan sejumlah 44 nyawa, termasuk 15 remaja dan kanak-kanak berusia 4 – 18 tahun.

Daripada angka itu, empat adalah adik-beradik daripada keluarga Najm, lapor Palestine News and Information Agency (WAFA).

Empat beradik berkenaan; Jamil Najm al-Deen Najm (4 tahun), Jamil Ihab Najm (13 tahun), Mohammed Salah Najm (16 tahun), Hamed Haider Najm (17 tahun).

Seorang rakan mereka Nazmi Fayez Abu Karsh (17 tahun) turut terkorban dalam serangan ganas itu, menurut WAFA.

Fayez al-Halabi, 12, saksi terawal yang berada di tempat kejadian, yang juga rakan kepada mangsa menceritakan kepada WAFA, “Ketika itu (petang Ahad), mereka empat beradik sedang duduk mengelilingi kubur datuk mereka, Jamil, yang terletak di hadapan pintu rumah mereka di kem pelarian Jabalia, utara Gaza”.

“Seorang daripada mereka sedang menyiram kubur. Tiba-tiba sebuah peluru berpandu dari pesawat peninjau Israel jatuh ke atas mereka. Batu nisan yang tertera nama datuk mereka terbelah dua.

“Mereka semua maut dalam keadaan ngeri dalam kejadian itu”, katanya dalam nada cemas bercampur esakan tangis.

Melihat keadaan ngeri itu, beliau dan beberapa kanak-kanak lain pantas melarikan diri dari tanah perkuburan yang sememangnya adalah ‘taman permainan’ harian mereka. Saya tidak akan akan lupa apabila melihat seorang daripada mereka melantun ke udara dan darah memercik di kubur. Saya melarikan diri dan ambulans pun tiba,” kata Al-Halabi.

Ramadan Shaaban, 50, seorang peniaga kedai runcit berhampiran lokasi menceritakan beliau sedang berdiri di bawah pokok di tanah perkuburan berkenaan, berbincang dengan seorang penduduk yang memintanya menyediakan kubur untuk kes kematian.

“Kanak-kanak di hadapan saya sedang berseronok, lalu sebutir peluru berpandu jatuh menyebabkan seorang daripada mereka maut terpelanting ke atas sebuah kubur lain.”

“Memang biasa kanak-kanak ini dan yang lain dilihat bermain di tanah perkuburan ini, kerana ia adalah syurga bagi mereka,” tambah Shaaban.

Hamed Najm, abang sulung mangsa berkata tanah perkuburan itu adalah tempat tetap untuk adik-adiknya dan kanak-kanak kejiranan itu bermain.

“(Bekalan) elektrik terputus dan udara sangat panas, jadi mereka keluar menghabiskan masa di tanah perkuburan,” kata Hamed kepada WAFA.

Menurut WAFA, korban awam melibatkan keluarga Najm bukan satu-satunya mangsa pencerobohan ganas ini.

Kurang 24 jam sebelum itu, di kem Jabalia, enam orang awam terbunuh, termasuk 4 kanak-kanak dan seorang wanita, selain beratus lagi cedera apabila dua rumah milik keluarga Shaqqura dan Farjullah terkena bedilan peluru berpandu dari pesawat peninjau Israel.

Ketika ini, dalam suasana gencatan senjata ‘rapuh’ dan kekalutan, warga Gaza terus cuba bertahan dan mengurus jenazah para syuhada yang tiba di rumah keluarga masing-masing di lorong-lorong kem penempatan.

Jihad Islam Palestin (PIJ) yang aktif di Semenanjung Gaza mengumumkan petang Ahad bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel.

Gencatan senjata secara rasmi bermula pukul 11.30 malam (waktu tempatan), sekali gus menamatkan serangan udara Israel dan serangan roket Palestin.

Bagaimanapun, serangan bertubi-tubi termasuk bedilan roket berlaku menjelang gencatan senjata itu, dengan siren amaran dibunyikan di selatan Israel beberapa ketika sebelum dan selepas tempoh akhir ditetapkan.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *