Berdepan tindakan MBAS: Peniaga, penjaja Taman Mergong mohon berbincang 


RIZQI ZABIDI

KALANGAN peniaga dan penjaja di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah hari ini berhimpun secara aman di depan Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi menuntut agar rintihan mereka didengari sebelum sebarang tindakan diambil terhadap tempat mereka mencari rezeki.

Rata-rata mereka yang ditemui memaklumkan, ketika ini masing-masing dirundung rasa bimbang setelah tiga gerai di situ dirobohkan pada 3 Ogos lalu.

Menurut wakil peniaga di situ, Nor Hafizam Md. Rejab, 40, tindakan itu agak mengejutkan kerana mereka sebelum ini dimaklumkan akan diberi ruang untuk berbincang dengan MBAS mengenai kedudukan gerai masing-masing pada 15 Ogos depan.

“Pada 29 Jun lepas, sebahagian kami ada menerima notis arahan daripada MBAS supaya mengalihkan binaan gerai kekal di bahu jalan serta kawasan lapang dalam kawasan tersebut secepat mungkin. Berikutan itu, kami memohon  bantuan dari Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti untuk bertemu wakil MBAS dan selepas itu kami difahamkan akan diberi ruang untuk berbincang dengan MBAS pada 15 Ogos depan.

“Tetapi pada 3 Ogos, pihak MBAS datang dan merobohkan tiga gerai di situ. Pada 4 Ogos pula, MBAS datang lagi dan kali ini memberikan notis kepada para peniaga supaya mengalih binaan khemah masing-masing dengan kadar segera.

“Sudah tentu keadaan itu amat mengejutkan kerana kami sudah berpuluh tahun berniaga di situ. Kami tidaklah mahu menyatakan yang perbuatan itu betul dari sudut undang-undang tetapi setidak-tidaknya berilah ruang untuk berbincang kerana itu sajalah sumber pendapatan kami,” katanya.

Sebelum mengadakan perhimpunan aman itu, Nor Hafizam turut diberi peluang bersama beberapa rakannya untuk menyampaikan memorandum para peniaga kepada wakil datuk bandar di pejabat tersebut.

Sementara itu seorang lagi peniaga di situ, Mohd. Fauzi Ghazali, 60, amat mengharapkan supaya ada ruang buat kalangan peniaga mengadakan perbincangan dengan MBAS.

“Dah 33 tahun saya berniaga minuman di situ dan itulah satu-satunya sumber pendapatan saya. Sebelum ini dah berulang kami meminta untuk bertemu Datuk Bandar tetapi tidak diendahkan.

“Berbanding menggunakan khemah ketika ini, ada dalam kalangan pihak yang meminta kami sekadar membuka payung. Kaedah tersebut sudah tentu tidak praktikal kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan, ribut dan terik, jumlah pengunjung pasti berkurang dan itu akan menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Abu Hasan Shafiee, 75, turut menzahirkan harapan supaya dia dan rakan-rakannya dapat terus berniaga di tapak sedia ada dan tidak lagi diganggu.

“Petang ini akan ada wakil dari Pejabat Menteri Besar serta wakil dari parti-parti politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas serta UMNO datang untuk berbincang mengenai nasib kami di gerai saya. Saya amat berharap supaya dapat terus mencari rezeki di situ selagi bernyawa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *