Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada awal tahun ini sedikit sebanyak akan membantu UMNO negeri dalam persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad berkata, UMNO negeri kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRU-15 jika diadakan pada bila-bila masa.
“Kita memang diarahkan pucuk pimpinan parti di peringkat Pusat untuk bersiap sedia. Di Johor, kita sudah sentiasa menanti kerana kita baharu lepas PRN.
“Pengalaman sudah ada, gerak kerja juga sudah dibuat dari PRN yang lalu, malah kita menang lebihdua pertiga majoriti di peringkat dewan undangan negeri (DUN), kini kita menunggu sahajalah pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa? di Plaza Pelangi di Johor Bahru, hari ini.
Desas-desus PRU-15 bakal diadakan dalam waktu terdekat semakin kedengaran khususnya selepas Ismail Sabri membuat keputusan untuk tidak menyambung perjanjian persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) .
Pada masa sama Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, PRU-15 akan diadakan sekiranya ada mana-mana parti menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
Leave a Reply