BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir semasa mendapat rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, lapor Astro Awani.
Menurut sumber ahli keluarga terdekat, jenazah allayarham dibawa pulang ke rumah di Luyang, Kota Kinabalu untuk diurus dan disembahyangkan di Masjid Jamek Likas pada pukul 10.00 pagi tadi.
Untuk rekod, Dayang Mahani pertama kali mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada 1986 atas tiket parti USNO setelah menewaskan Rashid Gador daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan kelebihan majoriti sebanyak 3,737.
Anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-2, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pengiran Ahmad Raffae itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Lumadan selama tiga penggal sehingga 1999 sebelum digantikan oleh Sarinum Sadikun daripada UMNO.
Dayang Mahani yang meninggal pada usia 71 tahun pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, selain pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Sabah pada tahun 2000 hingga 2004.
Leave a Reply