SEORANG lelaki warga emas di Thailand mencetuskan kegemparan di negara itu selepas dia mencuri dari sebuah farmasi bagi membolehkannya dipenjarakan.
Ini kerana,lelaki berusia 60 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Phichit mendakwa dia terlalu miskin untuk menyara kehidupannya.
Oddity Central melaporkan, insiden luar biasa itu dilaporkan berlaku di sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok 29 Julai lalu.
Phichit ditangkap kerana mencuri tiga buku sabun bernilai 17 baht oleh pekerja farmasi.
Premis itu mempunyai amaran yang sangat jelas terhadap kegiatan mencuri dengan penjenayah berisiko didenda sehingga 30 kali ganda nilai barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.
Bagaimanapun, dalam kes Pichit, pekerja farmasi bersedia melepaskan warga emas itu malah seorang awam yang berada di premis berkenaan bersedia membayar denda untuknya.
Namun lelaki itu enggan dan sebaliknya meminta pekerja itu menghubungi polis.
Phichit menuntut dia ditangkap kerana jenayah dilakukannya, membuatkan pekerja farmasi tidak mempunyai pilihan lain melainkan menghubungi polis.
Semasa soal siasat, Phichit mendakwa dia lebih rela menghabiskan masa di penjara kerana dia akan diberi makan secara percuma tiga kali sehari.
Malah dia mendakwa dapat bergaul dengan orang lain tidak seperti keadaan hidup di jalanan, tanpa pekerjaan dan berisiko untuk kelaparan malah mungkin mati.
Bagaimanapun tidak jelas bagaimana polis memilih untuk menangani kes Pichit.
Namun kisah warga emas itu menjadi peringatan tentang keadaan teruk yang dialami ramai rakyat Thailand pada masa ini, dengan inflasi mencecah paras tertinggi sejak 2008.
Leave a Reply