Pelajar parah dan tidak sedarkan diri selepas langgar gajah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

(KEMAS KINI) SEORANG remaja cedera selepas motosikal ditunggangi terlanggar seekor gajah sedang melintas jalan di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pukul 10.30 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM 110 dari arah Kota Tinggi ke Bandar Kluang.

“Mangsa berusia 17 tahun itu telah terlanggar seekor gajah ekoran keadaan jalan yang gelap.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera di muka dan luka di badan serta masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, anaknya, Muhammad Danish Saedin, 17, yang menunggang motosikal bersendirian melanggar seekor gajah dalam keadaan gelap sebelum dia jatuh dan motosikalnya tercampak dalam parit.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu.

Mislawati berkata, difahamkan kemalangan tersebut berlaku semasa anaknya itu dalam perjananan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.

“Sebelum kejadian anak saya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian lalu bertolak pulang ke rumah sebelum melanggar gajah berkenaan semasa dalam perjalanan.

“Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan-rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah.

“Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang selepas itu.

“Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, doktor memaklumkan terdapat pendarahan dalam kepala anaknya itu dan ketika ini sedang ditidurkan serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dia berkata, Muhammad Danish kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Saya berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan berdekatan perumahan penduduk di daerah ini akhir-akhir ini.

“Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gelap pada waktu malam.
Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *