Oleh BADLISHAH MAT
GERAKAN Tanah Air (GTA) dilihat tidak akan membawa ancaman besar kepada gabungan politik lain, namun perlu berwaspada kerana mereka mungkin boleh membawa kepada faktor perpecahan undi.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekiranya perpecahan undi itu berlaku, ia hanya akan membawa keuntungan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).
“Setakat ini saya tak fikir mereka mampu datangkan ancaman kerana BN sudah memang kekal dengan kelompok mereka, PH sedia dikenali manakala Perikatan Nasional (PN) pula terus berkembang dengan pertambahan ahli.
“Jadi saya tak rasa GTA bawa ancaman terlalu besar tetapi boleh membawa kepada perpecahan undi. Perkara ini yang perlu diperhatikan dalam kita menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.
Semalam, gagasan baharu parti politik yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat bertanding 120 kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti yang disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Sementara itu, ketika ditanya sekiranya terdapat perancangan untuk PN bergabung dengan GTA, Wan Saiful berkata, masih terlalu awal untuk mengulas mengenai perkara itu kerana gabungan itu baru sahaja dilancarkan.
“Elok jika kita tunggu dan lihat perancangan di pihak mereka sebelum menilai cara terbaik untuk memberi reaksi terhadap perkara tersebut,” katanya.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai penubuhan GTA, beliau enggan menyebelahi mana-mana pihak termasuk mereka yang mengecam dan mengkritik kerana mahu melihat dahulu perancangan serta sikap gabungan itu terhadap hal-hal besar dalam negara.
“GTA ini menggabungkan parti politik yang lebih kecil tetapi menambah dinamik dalam dunia politik kita. Saya harap gabungan ini tak membawa kepada perpecahan yang lebih banyak kepada orang Melayu, seperti mana yang turut dibimbangkan Dr. Mahathir satu ketika dulu.
“Saya faham ketika ini ada orang mula cakap yang Dr. Mahathir mudah lupa dan kata ia akan bawa lebih banyak perpecahan. Saya tak mahu ‘masuk’ dalam kumpulan itu kerana bagi saya, ia satu usaha dijalankan parti Melayu dan elok kita lihat dulu masa depan apa yang akan berlaku,” katanya.
Leave a Reply