Bersatu Johor rombak kepimpinan negeri sebagai persediaan PRU-15

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor melakukan rombakan kepimpinan parti di peringkat negeri sebagai usaha dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penyusunan semula kepimpinan Bersatu negeri tersebut dilakukan dan dipersetujui dalam satu mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, semalam.

Ketua Bersatu Bahagian Ledang, Mohd. Solihan Badri dilantik sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor sementara Ketua Bersatu Bahagian Sekijang, Uzzair Ismail dilantik sebagai Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor.

Mohd. Rashid Hasnon dilantik sebagai Bendahari Badan Pimpinan Bersatu Johor manakala Ketua Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Ir. Mohd. Khairulfadhlan Mohd Dzurri dilantik sebagai Ketua Penerangan Badan Pimpinan Bersatu Johor.

Sementara itu, Uzzair berkata, rombakan struktur organisasi parti itu juga bagi melancarkan gerak kerja Badan Pimpinan Bersatu Johor.

“Pelantikan ini sebahagian ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi Bersatu Johor pimpinan Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku ketua sekali gus menterjemahkan kesiapsiagaan parti menghadapi PRU15 pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut Bersatu Johor turut membincangkan secara terperinci mengenai strategi dan pendekatan intervensi khusus Bersatu bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan isu kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut turut menyentuh tentang kejadian banjir kilat yang melanda bandar raya ini pada Selasa.

Beliau berkata, Bersatu Johor menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan penuh dalam menyelesaikan masalah sistem perparitan dan saliran utama sedia ada agar tidak berulang pada masa depan.

“Tindakan yang boleh dilaksana adalah menyelenggara dan menaik taraf peralatan mekanikal melibatkan sistem pam agar dapat berfungsi pada kapasiti maksimum dan bukan hanya menyalahkan kadar taburan hujan yang tinggi sebagai asbab berulangnya kejadian banjir kilat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *