Batalkan pertemuan dengan Bersatu saat akhir – Wan Saiful bidas PM

Oleh BADLISHAH MAT

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak kembali kepada perangai lama pimpinan UMNO hingga sanggup ‘menjual diri’ akibat bimbang tidak menerima watikah sebagai calon pilihan raya.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri perlu sedar bahawa sokongan diberikan Perikatan Nasional (PN) kepadanya selama ini bersandarkan kepada keyakinan bahawa beliau boleh mempertahankan integriti.

“Kita faham Ismail Sabri mungkin risau tak dapat watikah pencalonan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetapi janganlah sampai ‘menjual diri’ begitu sekali,” katanya pada program Sihat Bersama Wan Saiful di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah, hari ini.

Wan Saiful mengulas mengenai pertemuan antara Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ismail Sabri yang dibatalkan pada saat akhir, semalam.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan pada awalnya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri untuk diadakan pada pukul 12.30 tengah hari, namun hanya dua jam sebelum pertemuan itu berlangsung, Ismail Sabri bertindak membatalkan pertemuan tersebut.

Justeru kata beliau, pihaknya menuntut supaya Perdana Menteri menunjukkan sedikit rasa hormat kepada Ahli Parlimen dan blok yang menyokong beliau.

“Sebelum ini Ismail Sabri boleh memenuhi janji dan menghormati pembangkang di sebelah Pakatan Harapan tetapi dalam keadaan sekarang, mengapa pula tak ada rasa hormat kepada PN iaitu blok terbesar dalam Parlimen yang menyokong beliau sekaligus membolehkannya menjadi Perdana Menteri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *