GERAKAN Tanah Air dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perkara itu dinyatakan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan gabungan itu hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau yakin mendapat sokongan daripada rakyat terutama orang Melayu yang menolak rasuah serta penyelewengan.
“Kita nak letak calon sebanyak 120 kerusi, ada kerusi yang sudah tentu ditandingi UMNO.
“Kita berpendapat masa sudah tiba untuk orang Melayu kenal UMNO sekarang ini, kerana UMNO sekarang ini nama sahaja UMNO tapi prinsip perjuangannya ialah duit,” katanya.
Dr Mahathir mengulas lanjut, gerakan itu berpotensi untuk menang dalam PRU-15 sekiranya 65 peratus pengundi yang tidak menyokong kerajaan memihak kepada mereka.
“Setakat kita tahu UMNO jadi kerajaan kerana sokongan 35 peratus sahaja, ada 65 peratus tidak sokong kerajaan, mereka ini tidak mengundi sama sekali, kerana menganggap politik ini bosan dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.
“Kita yakin dengan penerangan kita lakukan menerusi gerakan ini, kita yakin mereka akan beri sokongan dengan kita bersama empat buah parti dan beratus NGO yang sudah menyatakan sokongan mereka kepada kita.
“Serta jumlah orang ramai prihatin tidak senang amalan rasuah kerajaan sekarang, kita yakin kita boleh dapat kemenangan,” katanya.
Leave a Reply