Penghantar makanan rancang mogok 24 jam esok

TIDAK berpuas hati dengan layanan syarikat pengendali, penghantar makanan atau rider merancang mengadakan mogok esok sekali gus bakal mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan itu dalam tempoh 24 jam.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor berkata, langkah itu diambil bagi menunjukkan solidariti rider terhadap isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian.

Menurutnya, isu itu termasuk kadar upah tidak tetap yang dimanipulasi syarikat serta masalah tambang yang tidak setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.

“Mungkin dengan cara ini (mogok) ia boleh memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai poster penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia yang akan mengadakan mogok 24 jam esok.

Mengulas lanjut, Zulhelmi memberitahu, dia menjangkakan hampir semua rider akan turut serta dalam bantahan itu kerana ia sudah dirancang sejak dua ke tiga minggu lalu.

Katanya, mereka berharap mogok itu akan memastikan syarikat penyedia perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.

“Selain itu, kita juga mahu kerajaan ambil tindakan terhadap masalah ini. Saya yakin kerajaan tahu tetapi hingga kini tiada penyelesaian,” katanya yang berharap pengguna memahami tindakan diambil golongan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *