SEORANG lelaki di New York didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh selepas menembak seorang pekerja McDonald’s kerana menghidangkan kentang goreng sejuk kepada ibunya.
Agensi berita AFP yang memetik polis sebagai berkata, kejadian pada Isnin lalu melibatkan Michael Morgan, 20, setelah dia menembak pekerja McDonald’s berusia 23 tahun di Brooklyn.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Insiden itu bermula selepas berlakunya pertengkaran antara seorang wanita berusia 40 tahun yang juga ibu tertuduh dan mangsa.
Wanita itu mendakwa pekerja terbabit memberinya kentang goreng sejuk sebelum membuat panggilan video kepada anak lelakinya, Morgan.
Tertuduh kemudiannya datang ke restoran itu dan bertengkar dengan pekerja restoran berkenaan.
Menurut sumber polis yang dipetik oleh New York Post, Morgan kemudian menembak pekerja itu.
Tertuduh pernah ditahan beberapa kali atas pelbagai kesalahan jenayah.
Menurut Jurucakap Polis New York, Morgan juga didakwa dengan tuduhan memiliki senjata api.
Leave a Reply