Mayat lelaki ditemukan reput, berbau busuk di rumah sendiri

RIZQI ZABIDI

MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan reput dan berbau di rumahnya sendiri di Jalan Meranti, Tambang Badak Alor Setar, Kedah pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa yang berusia 56 tahun ditemukan setelah jirannya terhidu bau busuk sewaktu pulang dari kerja kira-kira pukul 7 pagi.

“Setelah terhidu bau busuk, jiran tersebut cuba memanggil mangsa dan menghubungi telefon bimbitnya namun tidak berjawab.

“Jiran tersebut lalu meminta seorang individu lain untuk menelefon talian kecemasan 999 dan apabila pihak bomba membuka pintu, didapati mangsa sudah tidak bernyawa di ruang tamu rumahnya,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan sudah pun berbau busuk.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat mangsa sudah mereput. Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada kesan pecah masuk atau unsur jenayah lain.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *