Kelab malam tawar ‘amoi Thai’ untuk aktiviti persundalan diserbu

SERAMAI 44 wanita warganegara asing dari Thailand termasuk seorang dari Laos yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor ditahan semasa satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu turut menahan enam individu lain iaitu dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan yang bekerja sebagai pekerja am manakala selebihnya rakyat tempatan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu disertai sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, serbuan itu rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu.

“Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.

“Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 satu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu, seramai 150 orang diperiksa dan hasilnya seramai 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan.

Tiga warga tempatan yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.

“Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.

Khairul Dzaimee memberitahu, semakan awal mendapati wanita warganegara asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.

Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna.

“Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen.Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara,” katanya.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Khairul Dzaimee berkata, JIM akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket ini dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah utara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *