SIRI animasi tempatan yang semakin popular, Mechamato The Animated Series semakin mengorak langkah apabila bakal disiarkan stesen televisyen (TV) popular Portugal, bulan depan.
Selepas disiarkan di lebih 20 negara Asia Pasifik, siri animasi terbitan Monsta itu akan ditayangkan Sociedade Independente de Comunicacao atau SIC K dalam bahasa Portugal.
Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin, pihaknya teruja dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelosok dunia melalui bahasa ibunda masing-masing melalui siri animasi terbitan Monsta.
“Kekuatan siri Mechamato terletak pada jalan cerita yang memfokuskan kepada nilai murni, persahabatan dan budaya. Mechamato terkenal dengan persembahannya yang menggunakan teknologi moden tanpa mengabaikan unsur tradisi tempatan.
“Dengan menggunakan Bandar Hilir Melaka sebagai sumber inspirasi, siri Mechamato mempamerkan kawasan bersejarah sebagai tema lokasi.
“Kami harap dengan cara itu, penonton muda di Portugal dan seluruh dunia yang berpeluang menonton Mechamato sedikit sebanyak dapat mempelajari mengenai sejarah dan budaya yang ada di negara kita,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.
Siri animasi Mechamato hasil sentuhan anak tempatan itu kini menembusi saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.
Mechamato The Animated Series juga dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Korea, Jepun, Thailand dan Vietnam.
Sambutan luar biasa khasnya di laman sosial terutama Twitter juga diraih siri animasi berkenaan apabila pengguna berkongsi pendapat dan reaksi mereka mengenai siri itu dengan menggunakan tanda pagar #Mechamato.
Siri animasi Mechamato boleh ditonton menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7 malam selain Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.
Sementara itu, Mechamato juga bakal muncul di beberapa platform penstriman lain, tidak lama lagi.
Malah Mechamato Movie dijangka ditayangkan di pawagam Malaysia, Indonesia dan Brunei, Disember depan.
Leave a Reply