Tun M cabar Apandi buktikan anaknya jutawan

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar bekas peguam negara Tan Sri Mohd Apandi Ali membuktikan anaknya menjadi jutawan semasa beliau perdana menteri.

Beliau mengutarakan cabaran itu selepas Apandi dilaporkan bertanya, “Dalam dunia ini, mana lagi ada seorang perdana menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?”

Dr. Mahathir sebagaimana laporan Free Malaysia Today berkata, anaknya tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan dengan kerajaan, apatah lagi menyertai parti kerajaan, ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Jika ada anak (saya) yang jadi jutawan, sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

“Jika tidak ada bukti, saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.”

Beliau menjawab empat soalan dikemukakan Apandi di Facebook bulan lalu, termasuk berkaitan kes Batu Puteh, tuntutan Sulu, dan saman berkaitan pemecatan Apandi sebagai peguam negara.

Apandi bertanya mengapa kerajaan Dr Mahathir memilih untuk menyelesaikan saman pemecatan tidak sah terhadapnya melalui “persetujuan”, dan sama ada ini bermakna Dr. Mahathir telah bertindak secara arbitrari dan “salah dari segi tatacara atau perundangan” ketika memecatnya sebagai peguam negara.

Mahathir menjelaskan bahawa Apandi dipecat kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan seterusnya mahkamah tempatan mendapati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah atas salah laku.

Namun, katanya, Apandi memutuskan bahawa Najib “tidak membuat apa-apa kesalahan”.

“Semua ini menunjuk bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

“Perbuatan Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada ‘rule of Law’ (kedaulatan undang-undang. (Beliau) tidak sesuai menjadi peguam negara.

“Kerajaan berhak untuk menamatkan (perkhidmatan) pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan daripada jawatan.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *