RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada satu pun kolam yang dibina di Gunung Inas bagi kegunaan ladang Musang King, pecah hingga mengakibatkan kejadian banjir serta aliran puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.
Menurutnya, pakar-pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga turut mengesahkan perkara tersebut.
“Kalau ikut laporan dikemukakan pakar kepada agnesi diketuai KeTSA, tragedi itu bukan disebabkan Musang King malah kolam Musang King itu juga tidak pecah.
“Jadi itu hanya usikan-usikan netizen serta orang ramai yang tidak menggunakan fakta benar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang dekat Baling hari ini.
Sebelum ini terdapat pihak yang mendakwa kolam tadahan air bagi kegunaan ladang Musang King tersebut pecah hingga mengakibatkan tragedi yang meragut tiga nyawa itu berlaku.
Ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan terdapat satu kolam takungan pecah melalui kajian dijalankan, Muhammad Sanusi berkata perkara itu perlu ditanyakan kepada Menteri itu sendiri.
“Itu menteri yang cakap dan bukannya saya. Jadi kena tanya menteri itulah.
“Ayat serta istilah awal digunakan beliau adalah ‘kemungkinan’. Tetapi tiada siapa peduli tentang perkataan ‘kemungkinan’ itu,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan rumah tersebut, beliau memaklumkan sebanyak 12 rumah akan dibina dalam tempoh enam bulan, bagi membolehkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi itu kembali memiliki rumah sendiri di tapak berkenaan.
“Kos bagi pembinaan sebuah rumah ini dianggarkan antara RM70,000 hingga RM75,000 merangkumi kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur. Secara keseluruhannya, kesemua 12 rumah ini akan dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar.
“Selain 12 keluarga ini, terdapat 16 lagi keluarga yang berada di kawasan berisiko dan perlu dipindahkan segera. Insya Allah selepas ini kita akan pertimbangkan penyelesaian terbaik untuk 16 keluarga itu pula,” katanya.
Leave a Reply