Murid gadai nyawa seberang sungai ke sekolah

ISU keselamatan murid dan pelajar sekolah khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang terpaksa gadai nyawa untuk menimba ilmu seperti tiada kesudahannya.

Pada Rabu, tular satu video memaparkan sekumpulan murid sekolah lengkap memakai uniform menyeberang sebatang sungai dengan menaiki sebuah sampan secara melawan arus.

Rakaman video memaparkan sebahagian murid tidak memakai jaket keselamatan berada dalam sampan manakala sebahagian lagi memakai jaket keselamatan di atas tebing dipercayai sedang menunggu giliran untuk menyeberang sungai.

Kejadian yang dikongsi oleh seorang pengguna laman sosial Twitter tersebut dipercayai berlaku di sekitar Kampung Mangkabusu, Pitas, Sabah.

“Walaupun exam (peperiksaan) UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) sudah dimansuhkan, pelajar-pelajar ini tetap gigih pergi ke sekolah.

“Semoga ada tindakan lanjut dapat dilakukan dengan kadar segera,” ciapnya di Twitter, lapor SatuBerita.

Terdahulu, media melaporkan kejadian yang hampir sama namun berlaku di daerah berlainan iaitu di Nabawan dan Keningau, Sabah juga memaparkan murid atau pelajar terpaksa merentasi sungai dengan pelbagai cara termasuk meniti saluran paip serta menggunakan rakit atau ‘zip line’ untuk ke sekolah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *