Kastam Johor rampas rokok RM3.8 juta rokok seludup

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah gudang di Kulai, Johor sebagai tempat penyimpanan rokok seludup dari Indonesia terbongkar selepas diserbu
Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 23 Julai lalu.

Serbuan hasil risikan dan siasatan selama dua bulan itu berjaya merampas lebih lapan juta batang rokok putih dan roko kretek seludup dianggarkan bernilai RM3.8 juta.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan rokok tersebut yang merupakan terbesar dalam tahun ini di negeri ini namun tiada tangkapan dibuat kerana semasa serbuan tiada suspek dalam gudang tersebut.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas gudang yang mencurigakan itu, JKDM Johor berjaya menemukan 8,017,600 batang rokok yang disembunyikan dalam bungkusan ditutup dengan kain kanvas.

“Nilai rokok tersebut RM3.8 juta manakala duti serta cukai yang terlibat pula dianggarkan RM5.7 juta. Nilai keseluruhan dagangan yang dirampas termasuk cukai berjumlah RM9.45 juta. Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menyembunyikan rokok seludup dalam gudang sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Beliau percaya rokok putih dan kretek tidak bercukai dipercayai dibawa masuk dari negara jiran secara tidak sah dengan menggunakan jalan laut.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana lebih besar.

Jelasnya, kesalahan itu jug boleh juga didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Sazali berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungau Pulai berjaya merampas 3,840 minuman keras bersamaan 1,790.40 liter selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima Aeras di Kilometer 2.7 Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Persisir Pantai Iskandar, Iskandar Puteri pada 22 Julai lalu.

“Minuman keras tersebut disembunyikan di bahagian belakang kenderaan tersebut dan di kerusi pemandu. Minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM10,700 manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah RM37,300.

“Nilai keseluruhan dagangan yang disita termasuk cukai dan kenderaan berjumlah RM88,100. Pemandu MPV berkenaan gagal mengemukakan kelulusan seperti invois, Borang Kastam 1 atau permit import,” katanya.

Tambah Sazali, suspek melakukan kegiatan tersebut sejak dua atau tiga bulan lalu dan modus operandinya adalah dengan menggunakan MPV untuk mengambil minuman keras yang diseludup sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan pertama boleh dihukum tidak kurang dari 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 mengkut mana-mana yang lebih besar.

Jelasnya, kesalahan itu juga boleh didenda tidak lebih 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 memgikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *