23 set bubu naga dirampas di perairan Kepala Batas

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 23 set bubu naga di dua lokasi berasingan pada kedudukan kira-kira 1.7 batu nautika dari barat Penaga, Kepala Batas petang semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan semasa rondaan rutin bot ronda Maritim Malaysia negeri dalam Op Pertiwi antara pukul 2.03 petang hingga 3.05 petang.

Menurut beliau, ketika rondaan bot Maritim Malaysia itu mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi dan berjaya menjumpai 23 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM2,760 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif selain merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan yang lain.

Tegas beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika Sabit kesalahan ujarnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh diajukan kepada Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *