sultan kedah

Terjemah secara syumul semangat hijrah dalam kehidupan – Sultan Kedah

Oleh BADLISHAH MAT

UMAT Islam khususnya di Kedah diajak untuk sentiasa menghayati semangat hijrah dan menterjemahkan perkara itu secara syumul dalam menjalani kehidupan masing-masing seperti dititahkan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Baginda yang bertitah secara dalam talian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah menyatakan, masih ramai umat Islam ketika ini seolah-olah tidak memahami definisi hijrah secara keseluruhan.

Sultan Sallehuddin bertitah, mereka didapati membiarkan ia kekal dengan tafsiran yang terhad dan tanpa mahu melihat hikmah hijrah daripada dimensi yang berbeza.

“Sekiranya konsep hijrah difahami secara tersurat dan tersirat, umat Islam tentunya akan lebih menghargai masa untuk melakukan perubahan dan penghijrahan dalam diri masing-masing.

“Sebagai umat Islam, perubahan ke arah lebih baik tidak memerlukan kita menunggu waktu tertentu. Sebaliknya perkara itu boleh dilakukan pada setiap masa.

“Nabi Muhammad serta para sahabat bersusah payah mengalirkan keringat, berkorban harta dan jiwa serta menahan segala tohmahan demi kebaikan umat. Maka kita yang berada dalam keadaan selesa ini, hendaklah berhijrah atas nama kebaikan,” titah baginda.

Sultan Kedah turut menasihatkan seluruh umat Islam agar memberi keutamaan dan perhatian khusus kepada aspek pembinaan keluarga seiring dengan tema sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Titah baginda, keluarga yang penyayang dan harmoni amat berkait rapat dengan keredaan dan keberkatan dikurniakan Allah.

“Keredaan Allah akan menjadikan kehidupan berkeluarga sentiasa tenang serta sering mendapat bantuan Allah di waktu susah dan senang manakala keberkatan pula membawa membawa kebahagiaan dan keharmonian berterusan.

“Beta juga menyarankan kalangan suami serta ketua keluarga supaya berusaha sedaya upaya mencari rezeki halal. Setiap makanan serta minuman akan menjadi darah daging dan jika perkara itu diperolehi dari sumber tidak halal, ia akan merosakkan jiwa selain memberi kesan negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak,” titah baginda.

Dalam pada itu, pengasas perniagaan Haji Ismail Group (HIG) di Langkawi, Allahyarham Ismail Ahmad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Kedah yang diwakili isterinya, Yah Othman ketika menerima anugerah berkenaan.

Masjid Al Halimi, Pekan Bandar Baru di Kulim pula dinobatkan sebagai masjid terbaik bagi bandar, manakala Masjid Albusra di Pekan Merbok, Sungai Petani diberikan anugerah sama untuk kategori masjid luar bandar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *