Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG bayi berusia lima bulan meninggal dunia manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak dan warga emas cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk dalam parit di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Tangkak malam tadi.

Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 8.19 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi dari BBP Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dalam parit. Terdapat lapan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

“Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, seorang wanita dewasa, seorang wanita warga emas, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera.

Jelasnya, dalam kemalangan tersebut semua mangsa tidak tersepit dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Menurutnya, empat daripada mangsa dihantar ke hospital menaiki EMRS manakala tiga lagi mangsa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 9.01 malam,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *