Oleh RIZQI ZABIDI
EMPAT warga emas merupakan antara tujuh individu yang ditahan polis ketika mereka asyik bermain judi belangkas menggunakan aplikasi dalam talian, di depan sebuah kedai makan dekat Pekan Sungai Korok, Jitra, Kedah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang bertindak sebagai penganjur perjudian tersebut.
Menurutnya, lelaki yang menganjurkan individu berkenaan mengaku bertindak sebagai ‘banker’ dengan kegiatan berkenaan dipercayai mula aktif sejak dua minggu lalu.
“Kalangan pemain judi itu pula termasuk warga emas terlibat terdiri daripada kalangan rakan-rakannya serta penduduk tempatan.
“Difahamkan nilai pertaruhan yang dilakukan adalah antara RM10 hingga RM200,” katanya.
Empat warga emas tersebut masing-masing berusia 70, 63, 61 dan 60 tahun manakala tiga lagi individu yang turut serta membuat pertaruhan berusia 35, 48 dan 56 tahun.
Rodzi menambah, susulan serbuan dijalankan itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM4,951 daripada kesemua mereka yang ditahan.
“Beberapa barangan terlibat turut dirampas antaranya sebuah meja plastik, sehelai kertas putih tercatat nombor tertentu dipercayai angka judi belangkas serta dua helai kertas putih mencatatkan kiraan hasil pertaruhan perjudian.
“Selain itu pihak kami turut merampas sebuah tablet Samsung Tab berwarna perak yang mengandungi aplikasi judi belangkas di dalamnya serta memiliki baki kredit sebanyak RM485,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Leave a Reply