Mohamed Apandi

Tan Sri Apandi tidak hadir beri keterangan di Bukit Aman

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman seperti dijadualkan hari ini.

Belau sepatutnya hadir ke Bukit Aman hari ini pada pukul 2.30 petang bagi menjalani proses tersebut.

Petugas media yang awal-awal lagi berkumpul bagi merakamkan kelibat Apandi di pekarangan lokasi terbabit bagaimanapun hampa selepas dimaklumkan beliau tidak akan memberi keterangan di Bukit Aman oleh pihak PDRM.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat setakat ini tentang di mana dan bila beliau akan merekodkan keterangan kepada pihak USJT.

Apandi dipanggil oleh USJT untuk dirakam keterangan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Astro Awani.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Ia susulan laporan Polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi pada 27 Julai lalu di Balai Polis Klang Selatan.

PDRM kemudianya mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Apandi berhubung laporan berkenaan.

Dalam laporan yang dibuat, Charles meminta polis agar menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

Ini berikutan keputusan penolakan Mahkamah Tinggi sebelum itu terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Apandi sebelum ini mengambil tindakan menyaman Kit Siang yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *