INTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) memperkenalkan Ahli Bersekutu sebagai satu pecahan di bawah Program Felo badan pemikir itu mulai tahun ini.
Ia bagi memberi peluang kepada individu terdiri daripada pensyarah universiti terkemuka, ketua pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin belia, selebriti dan wakil media untuk menyumbang idea dan tenaga dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, semua ahli yang dilantik pula berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sama ada aspek ekonomi, sosial, politik atau pembangunan lestari.
Katanya, antara Felo Kehormat dan Felo yang dilantik ialah Profesor Ulung Ekonomi, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM), Prof. Ulung Datuk Dr Rajah Rasia; Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak; Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.
Menurutnya, turut dilantik, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, UM, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin; Ahli MPN merangkap Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; Prof. Kehormat Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (CPDS) UM; Prof. Dr. Fatimah Kari dan Felo Penyelidik Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Dr. Shankaran Nambiar.
“Ahli Bersekutu yang dilantik dalam kalangan pemimpin muda ialah Ketua Pegawai Eksekutif, ASEAN Youth Network (AYN), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, Pengasas SPOT Community Project Malaysia, Siti Aishah Hassan Hasri.
“Lantikan Ahli Bersekutu turut melibatkan personaliti media popular iaitu Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd Ismail Adnan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azril memberitahu, kelebihan itu sudah pasti akan membantu MASA dalam menyediakan input cadangan dasar bagi membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 dan melaksanakan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Beliau berkata, melalui program itu juga, bidang-bidang tumpuan penyelidikan lain MASA seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sosiobudaya dapat dimantapkan.
“Ia sesuai dengan hasrat dan matlamat MASA menjadi antara badan pemikir bebas yang disegani dan menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi.
“Semoga pelantikan mereka dapat membantu MASA dalam menjalankan fungsinya dan mempromosikan nilai kemakmuran bersama,” tambahnya.
Leave a Reply